Blogger Layouts

Wednesday, November 9

Gagah Dalam Lemah


Bismillah, walhamdulillah.



Kepala terasa berat. Badan sengal lain macam. Digagahkan juga bersiap setelah bangkit pagi agak terlewat. Gerak jadi perlahan. Pendaftaran penggal baru. Singgah sekolah sebentar, terserempak adik-adik junior, sebahagian besarnya hanya dilihat dari jauh. Tidak sempat menegur, sekadar melempar senyum. Buru-buru. Maaf ye, jangan terasa.

Lompat cerita.

Tiba di kampus beberapa minit sebelum jarum mendekati angka 9. Lajak dari sasaran. Kaki dikerah cepat menapak melewati buluh-buluh, memanjat tangga meredah gelap, naik ke CC untuk mencetak slip daftar masuk asrama. Pintu dikuak lantas mata melilau mencari barisan yang agak pendek. Alhamdulillah, nasiblah belum berapa ramai. Semua yang menunggu giliran di dalam sepakat memandang. Biarlah, pintu tu memang menjeritmencapub sikit bila dibuka. Lali.

Tinggalkan peristiwa di CC. Lompat lagi. Pintu sebelah pemandu dibuka. Melihat pemandutukang teman memegang al-Quran, hati jadi lega. Dia masih boleh sabar, Alhamdulillah. Jentera empatroda dipacu ke café depan asrama. Parkir, brek tangan ditarik, saya luncur keluar. Mahu segera selesai. Nampak macam lengang, jenguk dalam dewan, ouppppss! Dah panjang barisannya. Sebaik muka terpacul depan pintu, seorang siswiLiya melambai, melontar senyuman penuh semangat dari tengah dewan, dalam barisantakberapalurus. Membalas dengan senyum dan lambaian yang longlai. Tak singgah berbual, ada sebab. Tegak di barisan sebelahnya, tapi agak terkebelakang. Tak dapat menyapa.

Dalam senyap bersendirian, minda berputar-putar memainkan drama-drama penggal lepas. Pause di proses pendaftaran. Situasi berbeza kali ini, setelah ditambah baik oleh pihak pengurusanprihatin setelah disarandihentamteruk sebelumnya. Semester lalu terpaksa beratursemut di kaunter bendahari kerana yurancekikdarah masih berbaki dek urusan pinjaman tidak dapat diselesaikan ekoran kelewatan pembaharuan MQA. Saya tergolong mereka yang bertuah kerana pinjaman diluluskan, Alhamdulillah, cuma wangnya belum lolos masuk ke akaun. Ketika mahu beratur itulah cerita bermula.

*FLASHBACK*

Kejadian hampir sama kira-kira 6 bulan lalu. Saya nampak kelibat Liya dan temannya di celah-celah barisan yang panjang. Dia memanggil, saya mampir. Hajat asal sekadar mahu bertegur sapa setelah berbulan tidak berjumpa. Kami tidaklah rapat mana, sekadar bertemu sekali-sekala dalam kuliah yang sama. Mereka cabang Quran&Sunnah, berbeza dengan saya. Dalam borak-borak itu, dia mempelawa saya menyelit di depannya. Dia memang baik hati. Mungkin dia mahu melanjutkan bicara, tetapi ertinya? Saya memotong barisan! Diterjah rasa serba salah. Saya tekad mahu kebelakang seketika nanti. Namun melihatkan barisan semakin memanjang kebelakang, hasrat itu mati. Selubungan serba salah dan resah kian memudar, tenggelam dalam bicara dan tawa kami bertiga.

Syaitan, bila nak ajak orang buat salah memang macam tu. Mula-mula dibiarkannya orang dengan rasa resah dan bersalah, hati membentak, tapi kemudiannya sedikit demi sedikit semakin dilupakan kesalahan yang dilakukan. Bila sudah rasa tenang selesa, mulalah diri si pesalah berlagak biasa! Licik~

Kini setelah satu penggal berlalu, dan saya sedang mendaftar penggal baharu, baru diinsafi kelakuanpendek akal itu. Mana saya nak cari puluhan orang yang saya langkaui, yang saya nafikan hak mereka itu? MAAFKAN SAYA! [mereka tak mungkin terbaca post ini..] =(


Natijahnya, urusan saya kemudiannya menjadi sukar. Setiap urusan sepanjang hari itu terasa disulitkan. Masa tu tak terfikir kenapa. Saya sampai di kampus awal pagi, tapi urusan hanya selesai menjelang petang. Dan saya pulang ke rumah dengan kepala pusingberdenyut. Rebah di rumah. Dua hari berikutnya, pening kepala tak surut juga. Saya benar-benar terlupa kesalahan mengambil hak orang itu.

Sekalipun kita inginkan urusan kita berjalan mudah dan lancar, haruslah dilakukan dengan cara paling jujur dan benar. Andai kita memudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan pula urusan kita. Yang sebaliknya berlaku kepada saya.


#Sepanjang semester pun terasa kalut dan tak teraturnya. Serba tak kena. Sungguh.#

Permulaan yang buruk akan merosakkan keseluruhannya. Mulakanlah segala usaha dengan kebaikan, insyaAllah baik di sepanjang perjalanan, beserta keredhaan Allah hingga ke pengakhiran.

Taubat. Tak mau potong barisan dah. Jadi, beratur la kira-kira sejam untuk ambil segugus kunci. Melangkah pulang dengan kepala semakin memberat dan pinggang semakin lenguh dek berdiri lama. Tak pe. Kali ni dengan cara yang betul. Bersih. Semoga semester ini akan berjalan lebih lancar dan penuh makna.


[Terima kasih kepada semua yang mendukung kejayaan saya..

Tanpa kalian tiadalah saya menggenggam kejayaan ini.. Alhamdulillah. (^_^) ]


Tak pandang belakang.

Terus melangkah.

Allahumma sahhilni..