Blogger Layouts

Monday, July 5

Ubati Dosa di Kebun Iman



Pada suatu ketika Saidina Ali Abi Talib sedang berjalan-jalan di sebatang jalan kota Basrah, tiba-tiba beliau ternampak sekumpulan besar manusia. Mereka berebut-rebut untuk ke hadapan dan saling menolak. Orang-orang yang berada di belakang pula memanjangkan leher dan mengangkat tumit mereka agar dapat melihat ke tengah-tengah himpunan manusia itu.


Ali bin Abi Talib ingin mengetahui apa gerangan yang sedang menarik perhatian orang ramai itu. Maka beliau pun pergi lebih dekat. Ternyata orang ramai berasak-asak itu sedang mengerumuni seorang pemuda yang tampan wajahnya, segak badannya serta kelihatan berwibawa. Pemuda itu memakai pakaian serba putih dan duduk di atas sebuah kerusi. Pemuda itu pandai mengesan setiap penyakit yang sedang dihidapi oleh tubuh seseorang dan menentukan setiap jenis ubatnya.

Tidak seorang pun yang menghadapi masalah kesihatan yang ada di situ, melainkan diberitahu penyaki dan ubatnya. Memang benar, semua yang mengikut arahannya sembuh serta merta. Setelah mendapat giliran, Ali bin Abi Talib terus maju ke hadapan dan bertanyakan tentang perihal penyakit. Maka, terjadilah perbualan antara doktor muda itu dengan Saidina Ali bin Abi Talib r.a.

"Assalamualaikum, wahai tuan doktor," kata Ali bin Abi Talib memberi salam. "Wa'alaikumussalam," jawab doktor muda itu.
"Adakah tuan doktor boleh menunjukkan ubat penyakit dosa? Orang ramai tak mampu mencari ubat penyakit yang satu ini," kata Saidina Ali.
Pemuda itu tidak menjawab, tetapi hanya menundukkan kepalanya hingga menyentuh bumi.
"Bagaimana tuan doktor, boleh menunjukkan ubat penyakit dosa?" tanya Saidina Ali lagi.

Dia tidak menjawab juga , maka Ali pun mengulangi pertanyaannya buat kali ketiga dan doktor mengangkat kepalanya. Maka bertanyalah Ali, "Wahai tuan doktor, adakah tuan mengetahui ubat penyakit dosa? Semoga Allah memberkati tuan doktor."

"Ya, tahu," jawab doktor itu.
"Sila tuan terangkan kepada saya," pinta Ali bin Abi Talib.

Doktor muda itu menerangkan bahawa untuk mengubat dosa, seseorang itu hendaklah tinggal di kebun iman. Kemudian ambillah akar-akar niat dan bijirin penyesalan di dalam kebun itu. Ambillah pula daun-daun memperbaiki diri dan azam, taburlah biji warak, buah Fikah, dahan-dahan yakin, saripati ikhlas dan kulitnya ijtihad. Ambil pula akar-akar tawakal, sempurnakan dengan iktibar, minumannya air taubat dan ubat tawadhu'. Ubat-ubat itu hendaklah diambil oleh hati yang hadir, waspada dan faham.

Peganglah taufik, kemudian ditempatkan di bekas tahkik dan hendaklah dibasuh dengan airmata. Lepas itu, letakkan di dalam periuk harapan, kemudian nyalakan api rindu di bawahnya sehingga timbullah buih-buih hikmat yang banyak. Setelah masak, tuangkan ia ke dalam dulang redha dan kipaslah dengan istighfar.

Dengan demikian, engkau akan mendapatkan minuman yang sangat jernih, asli dan sedap. Akhirnya, minumlah air itu di tempat yang sunyi yang tak seorang pun melihatnya melainkan Allah Ta'ala. Dengan cara itu, seseorang boleh mengubat dosanya sehingga sembuuh dan habis terkikis.

Lepas memberikan keterangan yang panjang berupa resepi untuk ubat dosa, pemuda itu bermadah memperingatkan orang yang hadir akan bahayanya dosa dan hendaklah bertaqwa kepada Allah s.w.t. Kemudian dia berteriak satu kali dengan teriakan yang kuat sehingga rebah ke bumi dan meninggal ketika itu juga.

"Sesungguhnya engkau ini memang seorang doktor dunia dan doktor akhirat," kata Saidina Ali bin Abi Talib. Kemudia beliau memerintahkan kaum Muslimin agar segera meguruskan jenazah pemuda wara' itu.


2 comments:

Izyana Hariffin said...

Assalamualaikum wafa'

Saya sungguh terkesan dgn tinta ini. Sungguh, sebenarnya sy rasa mcm nak rebah berada di dunia realiti..

..saya perlu jiwa tabah
untuk menyusuri jalan ini

kerana..saya merasakan cabarannya sgt kuat.

Saya harus lebih kuat..!

Ukhti.. saya rindu kamu..~

Wafa' Zulfah said...

Alaikisalam,ukhti Elya..

Pohonlah kekuatan daripada Allah kerana tiada kekuatan lain selain dariNya.

In tansurullaha yansurkum wa yutsabbit aqdaamakum..

Yakin itu..tiadalah ujian menimpa seseorang itu melainkan sebatas kemampuannya..ujian yang berat untuk orang yang hebat..

"Apakah mereka dibiarkan mengatakan kami telah beriman sedang mereka belum di uji?"

Moga Allah bantu kamu, kuatkan kamu dan tetapkan hati kamu..

Setiap usaha Allah akan mengganjarinya biar sekecil manapun ia..

Jangan mengalah dengan halangan kerana kita hidup dengan cita2 yang besar dan mulia, yang tiada makhluk merasakannya melainkan dia kenal penciptanya, dan dia faqih dengan tujuan hidupnya..

Rindu kamu juga Elya!
~Saling mendoakan dalam kebaikan~

Allah bersamamu..Rabbuna yusahhil.. Seeru 'ala barakatillah.